DPIM gesa kerajaan segera naikkan gaji minimum ke RM1,500

0
1

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa kerajaan menaikkan menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 secepat mungkin, tanpa menunggu hujung tahun ini.

Ketuanya, Shahir Adnan, berkata kali terakhir kadar gaji minimum dinaikkan melalui pembentangan Belanjawan 2020 apabila kerajaan bersetuju menambah RM100, iaitu daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan.

Katanya, ia berdasarkan Perintah Gaji Minimum 2020, Seksyen 23 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

“Sebagai perbandingan dengan negara serantau kita, DPIM membandingkan gaji minimum di Malaysia dengan Thailand dan Indonesia. Menggunapakai gaji minimum sekarang, iaitu RM 1,200, bersamaan USD287 sebulan diterima rakyat Malaysia sebagai gaji minimum.

“Di Thailand, gaji minimum adalah 336 Thai Baht sehari atau 13,440 THB, bersamaan USD 414 sebulan. Di Indonesia, gaji minimum USD326 sebulan. Perbandingan ini menunjukkan Malaysia berada dalam keadaan antara tercorot di rantau ini.

“Jika gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 sebulan, ia bersamaan USD357, meletakkan negara kita di kelompok tertinggi di rantau ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahir berkata, jika cadangan menaikkan gaji minimum dilaksanakan segera, ia akan memberi nafas baru kepada golongan miskin B40.

Ujarnya, walaupun keputusan ini dianggap akan memberi kesan kepada perniagaan, impak ke atas ekonomi harus dilihat secara holistik.

“Peningkatan gaji akan meningkatkan kos operasi, namun peningkatan gaji akan meningkatkan permintaan pelbagai barangan dan perkhidmatan domestik yang akan memberi impak lebih besar kepada ekonomi tempatan.

“Rakyat akan mempunyai lebihan wang untuk berbelanja,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan tidak perlu mengambil masa yang lama membuat kajian menaikkan gaji minimum kerana rakyat terutama golongan B40 telah dua tahun terhimpit dengan wabak Covid-19.

“DPIM berpendapat bahawa gaji minimum baharu perlu menjadi keutamaan pentadbiran kerajaan hari ini, sebelum diadakan Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here