Program Podium, SUKMA 2022 diteruskan – Ahmad Faizal

0
1

PELAKSANAAN Program Podium akan diteruskan bermula tahun ini sehingga 2025 dengan peruntukan sebanyak RM240 juta atau RM60 juta setahun.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata Jemaah Menteri yang bersidang hari ini bersetuju meneruskan program berkenaan.

“Jemaah Menteri juga bersetuju supaya satu butiran projek baharu diwujudkan bagi Program Podium di bawah Peruntukan Pembangunan, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Perkara ini akan disusuli dengan Unit Rancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yakin, dengan peruntukan yang diberikan itu, kerajaan dapat membantu atlet bagi membuat persiapan ke temasya sukan antarabangsa dan kecemerlangan sukan negara dapat dipertingkatkan.

“Antara temasya sukan utama pada tahun ini adalah Sukan SEA Vietnam pada 12 hingga 23 Mei 2022 dan Sukan Komanwel Birmingham pada 28 Julai hingga 8 Ogos 2022.

“Sukan Asia pada 10 hingga 25 September 2022 dan Sukan Para Asia pada 9 hingga 15 Oktober 2022 serta Sukan Olimpik dan Paralimpik di Paris pada tahun 2024,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizal memaklumkan Jemaah Menteri juga bersetuju supaya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 diadakan di Kuala Lumpur susulan permohonan Kerajaan Negeri Johor menangguhkannya selaku tuan rumah.

“Ini memandangkan penganjuran SUKMA dan Para SUKMA perlu diteruskan bagi memastikan pembangunan sukan diperingkat Negeri dilaksanakan secara konsisten agar negara tidak ketandusan atlet.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedar sekiranya SUKMA 2022 tidak diadakan bermakna tiada kesinambungan dalam tempoh empat tahun dari SUKMA terakhir pada 2018,” katanya.

Menurutnya, SUKMA dan Para SUKMA 2022 akan dikendalikan oleh KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN).

“Selaras situasi semasa, temasya ini akan diadakan dengan menggunakan Model gelembung Sukan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan atlet, pegawai serta semua yang terbabit yang dianggarkan seramai 12,000 orang akan terbabit dalam temasya kali ini.

“Penganjuran akan menggunakan kemudahan sedia ada dan dibuat secara berfasa iaitu berasingan bagi SUKMA dan Para SUKMA bagi memastikan bilangan yang terbabit tidak terlalu ramai,” katanya.

Ahmad Faizal merakamkan ucapan terima kasih kepada Jemaah Menteri kerana telah meluluskan permohonan KBS bagi dua acara yang amat penting bagi negara itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here