Kes bayi mati didakwa kecuaian hospital disiasat

0
1

JABATAN Kesihatan Kelantan akan menjalankan siasatan menyeluruh dan terperinci berhubung kematian bayi berusia dua bulan Jumaat lalu, yang didakwa berlaku kecuaian ketika menerima rawatan.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap semua pihak yang terbabit.

“Pihak pengurusan hospital sudah menjalankan siasatan awal dan mendapati pesakit dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada 5 Februari akibat cirit-birit melampau selama beberapa hari yang mengakibatkan pelbagai komplikasi.

“Jabatan Kesihatan Negeri memandang serius insiden ini dan akan melakukan siasatan yang lebih menyeluruh dan terperinci terhadap semua pihak yang terbabit,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya amat prihatin terhadap insiden berkenaan dan merakamkan ucapan takziah kepada pihak keluarga.

Media semalam melaporkan, pihak HRPZ II mengadakan pertemuan dengan waris keluarga bayi itu, semalam.

HRPZ II memaklumkan sudah mengadakan siasatan membabitkan pakar perubatan, doktor serta jururawat yang bertanggungjawab dalam merawat bayi berkenaan.

Terdahulu, tular satu video menerusi Facebook milik ‘Ola Ola’ yang mendakwa bayinya berusia dua bulan meninggal dunia akibat kecuaian doktor di HRPZ II ketika memberikan rawatan.

Menerusi video yang meraih tontonan melebihi 60,000 itu juga, beliau mendakwa anaknya dipaksa berpuasa selama lima hari selain turut diberikan susu yang sudah tamat tempoh dan diberikan ubat tidur tanpa keizinannya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here