EMPAT negeri mencatat kadar penggunaan katil kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 50 peratus setakat semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, negeri terbabit adalah Johor sebanyak 70 peratus penggunaan katil ICU di hospital, diikuti Kelantan (60 peratus), Kuala Lumpur (58 peratus) dan Melaka (54 peratus).
Sementara itu, beliau berkata, 12 negeri mencatatkan kadar penggunaan katil bukan ICU di hospital, melebihi 50 peratus iaitu Perlis sebanyak 109 peratus, diikuti, Selangor (101 peratus) dan Kelantan (100 peratus).
“Manakala, Perak (97 peratus), Johor (82 peratus), Putrajaya (79 peratus), WP Kuala Lumpur (77peratus) Sarawak (76 peratus), Sabah (74 peratus) dan Kuala Lumpur (73 peratus).
“Sementara Pahang (58 peratus), Pulau Pinang (53 peratus) dan Terengganu (52 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, bagi kadar penggunaan katil Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), empat negeri mencatatkan melebihi 50 peratus.
Negeri terbabit ialah Selangor (68 peratus), Perak (60 peratus), Melaka (59 peratus) dan Sabah (58 peratus).
Beliau turut memaklumkan pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 164.
“Namun peratusan penggunaan ventilator secara keseluruhan adalah sebanyak 37 peratus,” katanya.
Tambahnya, secara keseluruhan, setiap negeri bersiapsiaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes yang memerlukan kemasukan PKRC , hospital dan ICU. – Malaysiapost

