VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menasihati Tan Sri Muhyiddin supaya mengawal emosi dengan membiarkan rakyat Johor membuat keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bulan depan.
Beliau berkata, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu boleh membuat ‘persiapan’ partinya sendiri sekiranya merasakan Barisan Nasional (BN) dan Umno sudah tidak lagi kuat di Johor.
“Jangan marah-marah. Kalau dah rasa Umno dan BN dah ‘ke longkang’ dan tak kuat di Johor, atur je langkah parti sendiri kearah penerimaan rakyat di PRN Johor.
“Cogankata pun ‘Demi Bangsa Johor’. Kami (BN): ‘Kestabilan Demi Masa Depan”. (Biarlah) rakyat yang akan menentukan,” katanya ringkas di Facebook.
Terdahulu, Shahrir merujuk kenyataan Muhyiddin yang menyifatkan Johor bukan lagi kubu kuat Umno dan Barisan BN kerana parti itu telah tumbang dalam pilihan raya umum (PRU) lalu termasuk hilang kuasa di Putrajaya.
Katanya, untuk itu kepada yang masih menganggap Johor masih kubu kuat Umno, perkara itu sudah tidak relevan kerana BN dan Umno sudah pun dikalahkan sebelum ini.
Muhyiddin berkata, Umno dan BN kembali bangkit disebabkan bantuan parti-parti dalam PN yang menyokong wakil parti itu diangkat sebagai menteri besar Johor selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang di Putrajaya.
“Kalau kata Johor kubu kuat Umno-BN ‘poda’ (boleh berambus dalam bahasa Tamil) dia (BN) sudah kalah dulu, kalau dulu sudah kalah, PRN akan datang kita tentukan mereka kalah lebih teruk dari dulu,” katanya. – Malaysiapost

