BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pantas menjawab mengenai surat kedua Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad kepada pengundi Johor, yang dilihat masih ‘meratib’ namanya.
Ahli Parlimen Pekan itu, mengakui tidak faham dengan tindakan bekas Perdana Menteri itu yang dalam surat pertamanya mengatakan tidak sanggup lagi ratib nama Najib tetapi keseluruhan surat keduanya adalah sebaliknya.
“Tak faham dengan dia (Dr Mahathir) ni. Selepas surat pertamanya yang petik nama saya, dia kata dia tak sanggup ratib nama saya lagi tapi keseluruhan surat kedua dia adalah berkenaan saya.
“Nama “Najib” ditulis 10 kali dalam surat 1 1/2 muka suratnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau juga mengakui masih terhutang budi kepada Dr Mahathir yang memberi sokongan untuk dirinya menjadi Perdana Menteri.
“Mungkin dia pernah tekan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) untuk sokong saya tapi masalahnya ialah selepas saya jadi PM, Tun (Dr Mahathir) asyik tekan saya untuk sokong projek-projek kroni kamu juga.
“Bila saya tolak, Tun meroyan pula dan mula mencorak langkah untuk berkomplot dengan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk jatuhkan saya pada 2014 sebelum 1MDB menjadi isu,” katanya.
Najib berkata, perkara itu diakui sendiri oleh anak Ahli Parlimen Langkawi itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
“Anak Tun sendiri yang mengaku ini di mahkamah dan kanotikan kamu serta Muhyiddin.
“Ataupun anak kamu menipu mahkamah masa itu? Baca ini, Tun. Apa komen Tun?” soalnya.
Terdahulu Dr Mahathir dalam surat keduanya kepada pengundi Johor mengakui malu untuk ‘meratib’ nama Najib yang didakwanya memalukan negara, bangsa dan agama.
Beliau mendakwa ‘terpaksa’ meratib nama berkenaan bagi menyekatnya kembali berkuasa dan menegaskan akan terus ratib nama Najib ataupun sesiapa sahaja yang cuba untuk merosakkan negara dan menipu rakyat. – Malaysiapost

