
PENINGKATAN ketara kes jangkitan Covid-19 dikalangan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun direkodkan sejak awal Januari lalu sehingga pertengahan Februari 2022, dengan sebanyak 50,826 kes dilapor membabitkan golongan berkenaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu seramai 15,817 kes atau 31.12 peratus kanak-kanak dijangkiti adalah kategori 1 diikuti kategori 2 (34,857 kes).
Menurutnya, kategori 3 adalah sebanyak 120 kes, kategori 4 (28 kes) dan kategori 5 (empat kes).
“Pola penggunaan katil harian pesakit Covid-19 di kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun, didapati semakin meningkat seiring dengan kenaikan kes Covid-19 di dalam negara.
“Peningkatan dilihat lebih ketara dalam bulan Februari 2022 terutama bagi kategori 2 hingga kategori 5,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ia mungkin disebabkan oleh penularan Varian Omicron serta peningkatan pergerakan kanak-kanak dalam komuniti susulan pembukaan semula sesi persekolahan, pusat jagaan kanak-kanak dan bayi.
“Kanak-kanak telah terkesan secara langsung akibat pandemik Covid-19 yang telah mengganggu kehidupan keluarga serta aspek sosial mereka.
“Aspek persekolahan dan pendidikan juga terkesan dan pandemik yang berlarutan ini telah memberi kesan yang tidak sihat kepada perkembangan psikologi dan sosial kanak-kanak,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, meskipun gejala jangkitan Covid-19 di kalangan kanak-kanak kebiasaannya kurang serius berbanding dewasa, namun terdapat juga kes-kes yang memerlukan rawatan di hospital dan ada yang memerlukan rawatan intensif.
“Sehingga kini, tujuh kes (empat peratus) kematian kanak-kanak telah disebabkan oleh Multisystem Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) susulan jangkitan Covid-19.
“Kanak-kanak juga berisiko mendapat Long-Covid (sindrom Covid-19 selepas fasa akut jangkitan). Buat masa ini tidak banyak yang diketahui mengenai kesan jangka masa panjang Long-Covid kepada kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata, memandangkan kanak-kanak kini merupakan golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti, antara kaedah utama bagi mengurangkan risiko adalah dengan kawalan kendiri dan juga vaksinasi.
“Pemberian vaksin kepada golongan kanak-kanak yang berusia lima hingga 11 tahun adalah tepat pada masanya untuk melindungi kumpulan ini khususnya kanak-kanak yang mempunyai komorbid.
‘Kanak-kanak golongan ini perlu diberi dua dos vaksin dengan sela masa lapan minggu selepas dos pertama,” katanya. – Malaysiapost
