Laporan kewangan diberi atas kapasiti Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN – Tengku Zafrul

0
1

MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan laporan kedudukan kewangan negara yang diberi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah atas kapasitinya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Beliau berkata, adalah menjadi keperluan Muhyiddin untuk melihat laporan berkenaan dan kandungannya merupakan fakta biasa yang telah disebut kepada Kabinet dan orang awam tanpa ada apa-apa yang perlu disorok.

“Sebagai Pengerusi MPN, beliau (Muhyiddin) memerlukan laporan-laporan tersebut untuk mengambil keputusan yang tepat dalam membantu Perdana Menteri membawa Malaysia ke arah pemulihan pasca Covid-19.

“Malahan, fakta-fakta ekonomi yang ada di dalam laporan tersebut merupakan fakta yang telah saya sebut berulang kali kepada Kabinet dan sesiapa sahaja orang awam.

“Saya tidak pernah sorok, baik melalui kenyataan media, ulasan saya dalam forum-forum, jawapan-jawapan parlimen dan laporan-laporan agensi seperti Bank Negara, Jabatan Statistik dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin ketika berucap di Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Johor, yang meminta laporan kewangan negara daripadanya serta mendakwa akan mendedahkan kedudukan sebenar kewangan negara.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri kelapan itu dilantik sebagai Pengerusi MPN yang bertaraf Menteri pada September 2021.

Tengku zafrul berkata, umum sedia maklum keadaan ekonomi negara buat masa ini, terutamanya selepas kesan negatif yang dibawa oleh Covid-19.

“Namun seperti yang saya sebut, fokus utama kita sekarang adalah untuk memacu pemulihan negara agar rakyat dapat kembali hidup dengan selesa.

“Saya berharap kita dapat terus memberi keutamaan yang paling penting kepada pemulihan ekonomi untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata, negara berada di landasan yang betul di mana aktiviti ekonomi, baik dari perspektif makro, perniagaan atau individu sedang beransur pulih dengan pantas berdasarkan indikator seperti pasaran kerja dan sebagainya.

“Saya yakin kita dapat pulih mengikut perancangan dan menjana ekonomi sekaligus terus membawa keyakinan kepada pelabur untuk terus datang ke Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here