KESEDAR sedia perkhidmatan bas sekolah

0
1

LEMBAGA Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) akan menyediakan perkhidmatan bas bagi mengambil dan menghantar pelajar sekolah di kawasan Taman Agropolitan Rantau Manis.

Pengurus Besarnya, Dr Shahrir Mohammad Zakey, berkata tiga bas disediakan bagi memberi manfaat kepada 448 pelajar di tiga sekolah di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sekolah berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Renok Baru seramai 100 pelajar, SK Jeram Tekoh (225 pelajar) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Asap (123 pelajar).

Beliau berkata, perkhidmatan bas itu akan bermula pada 20 Mac depan, berikutan pembukaan sesi persekolahan bagi tahun 2022.

“Kos sebenar perkhidmatan ini adalah RM88 sebulan bagi setiap pelajar. Bagaimanapun, KESEDAR akan menanggung subsidi 77 peratus iaitu RM68 manakala ibu bapa hanya perlu membayar RM20 sahaja untuk sebulan.

“Jumlah subsidi yang ditanggung KESEDAR adalah hampir RM11,000 sebulan melibatkan 448 pelajar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ia adalah salah satu usaha KESEDAR dalam memastikan anak-anak bekas peserta Projek Agropolitan Kelantan Selatan (PAKS), Rantau Manis dapat mengikuti sesi persekolahan seperti biasa.

Jelasnya, PAKS merupakan satu projek yang melibatkan perjanjian usahasama antara Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan KESEDAR bermula 5 Disember 2011 sehingga 31 Disember 2021. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here