DAP bersedia mengenepikan perbezaan politik dan menyokong cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk membuka semula sempadan negara dengan cepat menjelang 1 Mac ini.
Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng, berkata ia demi kepentingan ekonomi negara dan selaras dengan protokol kesihatan antarabangsa semasa yang diamalkan di banyak negara asing.
Menurutnya, normalisasi interaksi sosial dan penyambungan semula penglibatan perniagaan akan membantu memulihkan ekonomi dan memudahkan peluang pekerjaan terutamanya dalam sektor pelancongan.
“Ini juga akan menandakan fasa baharu pandemik Covid-19 yang beransur-ansur menjadi endemik dan pengesahan bahawa kita perlu hidup bersama dengan Covid-19.
“Dengan Covid-19 secara berperingkat menjadi endemik, tiada sebab melengahkan pembukaan semula sempadan apabila banyak negara jiran sudah berbuat demikian walaupun terdapat peningkatan jangkitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sebarang kelewatan hanya akan memudaratkan ekonomi negara apabila kerajaan telah terbukti tidak berkesan dalam memerangi Covid-19.
“Kerajaan perlu sedar mereka sudah beberapa kali gagal menguruskan Covid-19 termasuklah gelombang jangkitan terbaharu, mujurlah mempunyai bilangan kes teruk kategori 3 hingga lima yang rendah iaitu kurang 200 kes setiap hari.
“Kerajaan juga harus menambah lebih banyak sumber untuk meningkatkan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 jika peningkatan jangkitan memerlukan kadar kemasukan ke hospital lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, beliau berpendapat walaupun perlu tegas terhadap Covid-19 dan bahayanya, rakyat tidak boleh dikekang sehingga kehidupan dan mata pencarian terganggu.
“Kita mesti menerima, menyesuaikan diri dan tidak takut untuk hidup bersama Covid-19 seperti yang telah dilakukan kebanyakan negara jiran,” katanya. – Malaysiapost

