SPR perlu sediakan kemudahan untuk pengundi positif Covid-19 – Bersih

0
1

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil perhatian beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk hak mengundi pesakit Covid-19.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan, mengalu-alukan SOP yang diumumkan oleh SPR semalam yang dibuat lebih awal membolehkan calon-calon dan parti politik bertanding membuat persediaan yang lebih baik.

Bersih bagaimanapun mempunyai beberapa isu mengenai hak pengundi serta beberapa SOP yang boleh ditambah baik, antaranya pemilih positif Covid-19 dan pengundi berstatus dalam siasatan (PUI) atau dalam pengawasan (PUS).

“Dalam SOP ditetapkan SPR, pemilih yang positif Covid-19 tidak dibenarkan keluar untuk membuang undi mereka. Perkara ini adalah satu pelanggaran Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kepada pemilih untuk mengundi.

“SPR seharusnya mewujudkan mekanisme yang terbaik supaya pemilih dapat menjalankan hak mereka dan bukannya menghalang mereka menjalankan tanggungjawab,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Menurut Bersih, pengundi berstatus PUI/PUS pula perlu memohon kepada Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) untuk keluar mengundi dan bergantung kepada penilaian PKD untuk dibenarkan mengundi.

“Kebenaran mengundi atau tidak mengundi bukanlah kuasa PKD atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menentukannya kerana perlembagaan telahpun memberikan hak kepada mereka.

“Bersih menggesa supaya SPR dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk segera menjelaskan sama ada SOP ini akan menghalang pengundi positif Covid-19 dan PUI/PUS untuk mengundi.

“Sekiranya ya, Bersih menggesa untuk SPR/KKM membenarkan mereka membuat pilihan untuk mengundi dan menyediakan kemudahan yang bersesuaian,” katanya.

Sementara itu, mengenai kempen secara fizikal yang dibenarkan, pihak Bersih berpandangan bahawa penganjuran ceramah tidak seharusnya terhad di bilik gerakan atau pejabat parti atau calon sahaja.

“Bersih menggesa SPR untuk mempertimbangkan semula perkara ini dan membenarkan penganjuran ceramah fizikal dibuat di kawasan lapang seperti padang atau tempat parkir kenderaan yang luas dengan SOP yang ketat.

“Walaupun kami memahami keperluan untuk permohonan permit ceramah daripada polis, namun kami berpandangan bahawa pemberian notis dalam tempoh 24 jam untuk ceramah sudah mencukupi untuk memaklumkan pihak polis.

Bersih turut memohon PDRM membenarkan pengundi di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ke pusat pengundian untuk mengundi dengan cukup sekadar ujian RTK Antigen yang negatif.

“Semua pemilih di Johor diminta untuk mengundi dalam PRN Johor kali ini. Mengundi adalah satu hak dan tanggungjawab semua rakyat untuk memilih wakil rakyat yang akan mengemudi Johor. Undi adalah kuasa rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here