‘Ini nasihat saya sebagai ahli biasa’ – Khairuddin

0
1

AHLI Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali nasihat buat Pas dan pemimpinnya ketika kempen semakin rancak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurutnya, parti itu dan pemimpinnya tidak perlu menjadi ‘pak turut’ dengan memberikan reaksi kepada pihak yang ditentang.

Jelasnya, jika ada mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan keras atau kasar, Pas tidak wajar membalas dengan cara yang sama kerana ahli parti itu dianggap sebagai pendakwah.

“Kepada rakan pimpinan di peringkat pusat, anda perlu memimpin kaedah kempen yang betul dan berhemah kepada pimpinan pertengahan dan bawahan. Mereka di bawah hanya ‘kami dengar dan taat’ saja.

“Ini nasihat saya sebagai ahli biasa kepada pimpinan tertinggi sebagai mengamalkan sabda Nabi Muhammad SAW,” katanya dalam dalam satu kenyataan, semalam mengenai strategi kempen di Johor.

Beliau turut mengingatkan keputusan Muzakarah Majlis Syura Ulamak pada 31 hb Disember 2021 sebagaimana kenyataan rasmi oleh Mursyidul Aam ialah kekal memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Sehingga berlaku perubahan dasar baru jika ada, maka tanggungjawab semua pemimpin dan ahli PAS ialah memperkasakan kedua-duanya.

“Meskipun akan berlaku pertembungan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor antara PN, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), Pas boleh mengekalkan semangat kerjasama dengan kempen berhemah berasaskan budaya politik matang.

“Kempen mengajak rakyat Johor bersama Pas dengan menjelaskan matlamat perjuangan dan usaha serta kejayaan Pas menguruskan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Itu kempen berhemah,” tegasnya.

Mohd Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berpendapat Pas tidak perlu mengungkit hal-hal dahulu termasuk ‘kezaliman lama’ yang dianggap hanya membakar sentimen kebencian.

“Malah tidak wajar rahsia-rahsia mesyuarat ‘berdua dan bertiga’ dijadikan modal kempen terbuka kerana Nabi Muhammad SAW mengajar menyimpan rahsia mesyuarat dan perbincangan.

Beliau berkata, kepada yang ‘terlajak’ masih ada masa untuk membetulkan keadaan dengan menyusun strategi baru.

“Jika pada manusia sejahat Firaun pun diarahkan kita menyebut kalam yang lunak apatah lagi dengan rakan kerjasama dalam kerajaan persekutuan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here