Inisiatif Jamin Kerja manifestasi komitmen kerajaan – PM

0
1

INISIATIF Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ mendukung matlamat menurunkan kadar pengangguran negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, matlamat itu akan dicapai melalui penyediaan 600,000 peluang pekerjaan tahun ini dengan peruntukan RM4.8 bilion memandangkan penciptaan peluang pekerjaan merupakan teras utama di bawah Bajet 2022.

Beliau berkata, kerajaan turut komited membantu komuniti usahawan yang menggaji dan mencipta peluang pekerjaan, supaya dapat terus berkembang dan membina semula perniagaan melalui inisiatif Semarak Niaga bernilai RM40 bilion.

“Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia merangkumi tiga program utama iaitu Insentif Penggajian yang akan dilaksanakan oleh PERKESO dengan sasaran sebanyak 300,000 peluang pekerjaan.

“Inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek atau Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) yang menawarkan 80,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam, syarikat milik kerajaan (GLC) dan rakan-rakan strategik serta Jamin Kerja

“Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia) oleh HRD Corp dengan sasaran 220,000 orang pelatih,” ucapannya di Pelancaran Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Karnival Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022, hari ini.

Beliau berkata, Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia ini ialah pembuka tirai bagi 2022 dan yang pertama dianjurkan di seluruh negara, menawarkan lebih 12,000 peluang pekerjaan daripada 50 majikan, merentasi pelbagai industri.

“Kerajaan terus beriltizam untuk membantu lebih ramai Keluarga Malaysia yang mengalami nasib yang sama ataupun yang berdepan dengan cabaran yang berbeza untuk mendapatkan pekerjaan.

“Bagi mengurangkan jurang ketidakpadanan pekerjaan dengan kelayakan pencari kerja, saya menyeru pihak industri untuk
melaksanakan strategi pengambilan pekerja yang lebih baik dengan mengambil kira perubahan sosial.

“Majikan juga perlu lebih kreatif dalam memberi jaminan pekerjaan yang baik kepada para pekerja supaya mereka kekal bersama majikan tersebut,” katanya.

Ismail Sabri berkata, inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh dan menghasilkan pembangunan ekonomi yang lebih mampan.

Menurutnya, ia juga bagi memacu usaha pemulihan negara secara berstruktur dan menyumbang ke arah pengukuhan pasaran tenaga kerja negara.

“Malaysia sesungguhnya berada pada landasan yang betul dalam usaha pemulihan ekonominya melalui penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan baharu bagi memenuhi keperluan semasa pasaran buruh.

“Saya selaku Pengerusi Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yakin usaha NEC mempertingkatkan momentum penciptaan pekerjaan serta merancakkan pasaran kerja secara amnya akan dapat diteruskan menerusi Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia ini.

“Seterusnya akan turut memperkasa pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia khususnya kumpulan asnaf, B40 dan M40,” katanya.

Beliau menyeru semua majikan memanfaatkan peluang dan insentif disediakan melalui Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia kerana ia akan memberi manfaat yang besar kepada majikan dan pencari kerja. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here