PN menang PRN Johor, MB hanya jadi boneka Muhyiddin – Azleen

0
1

TAWARAN Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Penasihat Ekonomi Johor jika Perikatan Nasional (PN) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, membuktikan gabungan terbabit ketandusan personaliti bertaraf pemimpin.

Exco Pemuda Umno, Noor Azleen Ambros, turut mendakwa jika Muhyiddin menjadi penasihat ekonomi bermakna Menteri Besar daripada PN berfungsi seperti boneka.

“Muhyiddin baru-baru ini menawarkan diri sebagai Penasihat Ekonomi negeri, andai PN berjaya dalam PRN di Johor Mac nanti.

“Itu sahaja bukti paling jelas, terang lagi nyata bahawa PN ketandusan personaliti bertaraf pemimpin, yang mampu diketengahkan untuk dapatkan keyakinan 2.6 juta pengundi di Johor.

“Dengan peranan sebagai Penasihat Ekonomi, bermakna Menteri Besar Johor daripada PN tidak lebih sedikit pun fungsinya daripada boneka, dan akan sentiasa berada di bawah telunjuk TS Muhyiddin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Azleen berkata, pemimpin yang lemah dan rela membiarkan dirinya berada di bawah telunjuk mana-mana individu tidak layak memimpin Johor.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Pasir Gudang turut mempersoalkan mengapa tidak Presiden Bersatu itu sendiri bertanding dan menjadi calon Menteri Besar.

Katanya, Muhyiddin sendiri telah membuat kira-kira akan kesan dan implikasi atas tindakannya itu.

“Dengan tidak bertanding, setidak-tidaknya Muhyiddin masih lagi boleh memasang angan-angan untuk menjadi calon Perdana Menteri PN.

“Daripada membiarkan PN dan Bersatu mula menghitung hari lebih awal daripada persada politik tanah air,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here