Pavitra ditemui selepas hampir 2 minggu hilang

0
1

PELAJAR perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketari, Bentong yang dilaporkan hilang dari sekolah sejak 10 Februari lalu ditemui polis di sebuah perhentian bas di Kajang, Selangor awal pagi tadi.

P Pavitra, 15, ditemui oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong kira-kira jam 3.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata bertindak atas maklumat pihaknya ke sebuah kawadan di Kajang bagi mengesan remaja terbabit.

“Setelah sampai di sebuah perhentian bas, pihak polis telah membuat pemerhatian dan melakukan pemeriksaan ke atas dua remaja perempuan tempatan masing-masing berusia 15 dan 17 tahun.

“Semakan kad pengenalan salah seorang adalah remaja yang dilaporkan hilang pada 10 Februari lalu di SMK Ketari, Betong,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati remaja terbabit telah melarikan diri dengan menggunakan perkhidmatan e-hailing dan ke rumah rakannya di Kajang.

“Remaja itu tinggal bersama hampir enam hari di sebuah rumah di Kajang dan telah dirujuk ke Hospital Bentong untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Zaiham mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang prihatin serta menyalurkan maklumat kepada polis untuk mencari mangsa.

“Ibu bapa dinasihatkan agar sentiasa mengambil berat dan peka setiap tindak tanduk anak-anak.

“Bagi pelajar pula, dinasihatkan supaya sering berkomunikasi dan berbincang dengan ibu bapa atau penjaga sekiranya menghadapi sebarang masalah,” katanya.

Beliau menasihatkan pelajar supaya tidak mengambil keputusan yang salah dan boleh menyebabkan kesulitan serta masalah kepada diri sendiri dan keluarga.

“Ibu bapa atau penjaga juga boleh berbincang dengan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang terdiri daripada pegawai kanan dan pegawai rendah polis di setiap sekolah,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan orang ramai diminta membantu mengesan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang hilang dari sekolah sejak 10 Februari lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here