PRN Johor: MUDA mohon bantuan RM1 juta daripada orang ramai

0
1

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang terpalit kerana didakwa mempunyai kaitan dengan taikun dan ahli perniagaan, memohon bantuan sumbangan kewangan RM1 juta daripada orang ramai untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menerusi dana khalayak (crowfunding) di bawah gerakan Sapot Muda bermula 18 hingga 28 Februari itu, MUDA yang diketuai Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyasarkan 10,000 penderma.

Menerusi Facebook, parti itu berkata, orang ramai boleh menderma serendah RM10 yang amat bermakna untuk pihaknya dalam perjuangan untuk membawa perubahan.

“MUDA mensasarkan RM1 juta daripada dana khalayak untuk terus berbakti dan menyumbang kepada rakyat Malaysia.

“MUDA tidak bernaung di bawah tajaan mana-mana pihak,” tulisnya hari ini.

Parti itu turut memaklumkan, jumlah maksimum derma adalah RM200,000 bagi setiap penderma dan wang itu harus dimasukkan ke akaun MUDA atau akaun calon yang dibenarkan parti.

“100 peratus perbelanjaan akan diperincikan dan dilaporkan kepada orang ramai,” katanya.

Baru-bari ini, tular sebuah video Syed Saddiq ‘terlepas cakap’ nama tokoh korporat, Datuk Seri Kalimullah Hassan yang didakwa mempunyai kaitan atau menjadi penaja kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Dalam video itu, beliau ‘tersasul’ menyebut nama Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ECM Libra Group yang dikatakan menyumbangkan 400 tablet untuk diagihkan di kawasan diwakilinya itu.

Bagaimanapun selepas menyedari dirinya terlepas sebut nama bekas wartawan itu, Presiden MUDA itu kelihatan menutup mulutnya menggunakan tangan seolah-olah menyesali kesilapannya sebelum membetulkan semula ayatnya.

Sebelum ini ada pihak mempertikaikan dana diperoleh MUDA yang dikatakan membuat helah dengan membuat ‘crowd funding; bagi mencari dana bagi menghadapi PRN Johor.

Ini kerana parti itu dikatakan mendapat bantuan kewangan daripada penaja tertentu termasuk di kalangan taikun.

Tambah menguatkan spekulasi itu apabila kempen mereka turut disertai seorang anak taikun terkemuka, Dian Lee. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here