SEPANJANG 1 Januari hingga sehingga semalam, sebanyak 370 kompauan bernilai RM370,000 dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengunjung pusat hiburan di ibu negara oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamtan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur.
Ketua JPJKK Kuala Lumpur Datuk Azman Ayob, berkata bagi tempoh sama sebanyak 80 kompauan bernilai RM80,000 dikeluarkan kepada orang ramai yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Menurutnya, dalam Ops Khas Pematuhan SOP Covid-19 dijalankan pihaknya semalam, sebanyak RM90,000 kompauan dikeluarkan terhadap tiga pemilik premis pusat hiburan dan 87 pengunjung yang masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang.

“Sepasukan pegawai JPJKK Kuala Lumpur telah melakukan serbuan berasingan ke atas tiga premis pusat hiburan di ibu negara lewat malam tadi.
“Hasil serbuan mendapati kesemua pusat hiburan terbabit beroperasi dengan melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 202,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai agar mematuhi segala SOP yang ditetapkan untuk mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 yang masih tinggi demi keselamatan umum.
“Operasi seperti ini akan terus dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa dalam usaha membantu kerajaan mengawal penularan wabak Covid-19 demi kesejahteraan masyarakat bersama,” katanya. – Malaysiapost

