Jual 23 kg muntah ikan paus di Twitter, harga boleh cecah jutaan ringgit

0
1

SEORANG pengguna Twitter dari negara ini menawarkan kepada individu berminat untuk membeli muntah ikan paus seberat 23 kilogram (kg) yang didakwa ditemui bapa saudaranya di Indonesia.

Jika berjaya dijual, harganya mungkin mampu mencecah sehingga jutaan ringgit. Sebelum ini, media melaporkan pakar menganggarkan objek sama dengan seberat tujuh kilogram yang ditemui di wilayah Songkhla, Thailand pada Disember lalu bernilai RM1.16 juta.

Nadia yang menggunakan nama akaun @EdeoNd di Twitter memaklumkan beliau membantu bapa saudaranya untuk menjual muntah ikan paus itu yang kini berada di Indonesia.

Beliau juga memuat naik gambar dua ketulan objek berkenaan dan video seseorang sedang membakarnya untuk menunjukkan kesahihannya kerana mengeluarkan haruman yang wangi.

Bagaimanapun, menurutnya mereka kini sedang menunggu keputusan ujian sampel di makmal untuk mengesahkannya dan akan memaklumkannya kepada pembeli berminat.

Muntah ikan paus atau dikenali Ambergris lazimnya didapati dalam usus haiwan itu dan bahan itu terbentuk akibat tindak balas ketika proses penghadamannya.

Baunya ketika basah sangat busuk tetapi selepas mengering ia mengeluarkan aroma manis dan tahan lama, menjadikannya ramuan paling dicari dalam industri minyak wangi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here