2 lelaki berpakaian wanita di Laman Mahkota Istana Bukit Serene ditahan

0
1

POLIS Johor menahan dua lelaki berhubung dakwaan berpakaian wanita dan mengambil gambar kurang sopan di hadapan Laman Mahkota Istana Bukit Serene, Johor Bahru serta memuat naik di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata gambar tersebut kemudiannya dikongsikan semula oleh pengendali Facebook Persatuan Bangsa Johor daripada hantaran asal pemilik akaun Facebook Bryan Wee dan Deachon Chai.

Beliau berkata, tangkapan terhadap lelaki berusia 24 dan 27 tahun itu dilakukan kira-kira jam 12.30 hingga 1.30 tengah hari tadi, di sekitar Taman Nusa Bestari dan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan-kenyataan yang mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara,

“Jika disabit salah boleh dihukum dengan pemenjaraan yang boleh sampai dua (2) tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya dan Sek 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata, sekiranya sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Tambahnya, dua lelaki tersebut turut ditahan dibawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana saringan awal ujian air kencing mengandungi dadah jenis ketamin.

“Kedua-dua suspek akan di reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, polis menasihatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak.

Katanya, semua pihak dinasihatkan tidak menggunakan platform terbabit untuk menyebarkan sebarang imej atau maklumat yang boleh mendatangkan kegentaran awam dan menggugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteramaan serta keselamatan awam,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here