Tun M, Muhyiddin penyebar varian baharu ‘taksub kepada kluster mahkamah’

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ramai tidak sedar kemunculan satu varian baharu di negara ini yang lebih berbahaya, lebih cepat menular dan lebih degil sifatnya, namun tidak berkaitan dengan Covid-19.

Presiden Umno itu berkata ia bukan varian dari virus yang disebarkan oleh penyakit fizikal, tetapi penyakit hati.

“Namanya varian ‘taksub kepada kluster mahkamah’. Simptomnya mudah. Setiap hari mereka akan meratib, kluster mahkamah, kluster mahkamah dan kluster mahkamah.

“Apa-apa sahaja isu di negara kita ini, puncanya kluster mahkamah. PH tumbang, kluster mahkamah. PRN Sabah, kluster mahkamah. PRN Melaka, kluster mahkamah. Dan sudah pastilah, PRN Johor, kluster mahkamah.

“Hampir tidak ada masalah dalam negara kita ini yang bukan berpunca dari kluster mahkamah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Ahmad Zahid berkata selepas beliau mempertikai peranan Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang didakwa tidak berbuat apa-apa bagi memulihkan negara, kini Tun Dr Mahathir Mohamad mengutip sifir yang sama – bahawa PRN Johor adalah demi kepentingan kluster mahkamah.

Beliau berkata hakikatnya tidak ada seorang dari pemimpin Umno yang dilabel kluster mahkamah akan bertanding di Johor.

Pada masa sama katanya, semua mereka yang dilabelkan kluster mahkamah sebenarnya mengambil pendekatan menyerahkan semuanya kepada mahkamah.

“Barangkali kali kerana saya dan rakan turun ke Johor. Jadi kerana itulah naratif ini diulang-ulang.

“Atau barangkali ini cara Tun Mahathir sebenarnya mahu menempelak secara halus wakil kluster mahkamah dari MUDA, Syed Saddiq Abdul Rahman turut menjual naratif mahu menyelamatkan Malaysia bermula dengan Johor. Bak kata orang dulu-dulu, pukul anak sindir menantu.

“Pada mereka yang dijangkiti varian baharu ini, apa-apa sahaja yang berlaku di Johor adalah cerminan kepada apa yang akan berlaku di peringkat pusat. Walaupun agak tidak logik dan tidak matang, tetapi naratif ini mudah disebarkan.

“Warga bangsa Johor, kalian harus berasa bangga. Bangsa Johor sedang diangkat sebagai gerbang politik dan masa depan Malaysia.

“Pastikan kita memilih kestabilan di Johor dengan terus bersama BN. Jadikanlah PRN Mac nanti, satu ‘suntikan vaksin’ dan dos penggalak yang akan menyembuhkan varian politik baharu ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here