Najamuddin Mohd Nor
CALON PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Napsiah Khamis Maharan mengajak individu yang membenci rasuah dan politik kotor agar tampil menjadi sukarelawan jentera parti itu bagi kerusi tersebut.
Menurut Ketua Wanita PKR Johor itu, pihaknya amat mengalu-alukan kehadiran individu yang mahu melihat reformasi dalam politik negara membantu beliau memastikan PKR memenangi DUN Kempas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Inilah masanya… cakap benci rasuah, mahu pembaharuan dalam politik, jadi kenapa peluk tubuh? Mari jadi sukarelawan PKR di Kempas.
“Saya amat menghargainya dan segeralah tampil, hubungi saya untuk jadi sukarelawan PKR di Kempas,” katanya kepada Malaysiapost.
Isnin lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim nengumumkan Napsiah, 42, akan menjadi calon parti itu bagi kerusi DUN Kempas.
DUN Kempas sebelum ini disandang oleh Allahyarham Datuk Osman Sapian daripada Bersatu yang memenangi kerusi itu atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Bagaimanapun susulan keluarnya Bersatu daripada PH, menjadi misi Napsiah dan PKR mengembalikan kerusi tersebut kepada PH dalam PRN Johor kali ini. – Malaysiapost

