Istiadat Konvokesyen UiTM ditangguhkan

0
1

ISTIADAT Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-93 yang dijadualkan bermula pada 2 hingga 23 Mac ini terpaksa ditangguhkan susulan peningkatan penularan jangkitan Covid-19.

UiTM dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan keputusan penangguhan itu dibuat selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif Universiti (MEU) yang diadakan semalam.

“Pihak universiti bersetuju untuk menangguhkan Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 yang dijadualkan bermula pada 2 hingga 23 Mac 2022 yang membabitkan seramai 27,287 graduan.

“Penangguhan ini melibatkan UiTM Shah Alam, UiTM Cawangan Sarawak dan UiTM Cawangan Sabah. Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 ini dijangka akan dilaksanakan pada Jun hingga Julai 2022,” menurut kenyataan itu.

Menurut pihak UiTM, keputusan itu dibuat berdasarkan saranan Kementerian Kesihatan (KKM) dan keprihatinan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), berikutan peningkatan penularan jangkitan Covid-19 secara mendadak di seluruh negara.

Katanya, penangguhan itu juga mengambil kira keselamatan, kesihatan, kebajikan dan kesejahteraan graduan serta semua warga universiti.

“Pihak pengurusan UiTM memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh graduan dan ibu bapa.

“Pihak UiTM juga berasa kesal dengan situasi yang di luar kawalan ini dan amat menghargai kefahaman, sokongan serta kerjasama yang diberikan oleh semua pihak dalam hal ini,” katanya.

Menurutnya, maklumat terkini mengenai penangguhan pelaksanaan Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 boleh dirujuk di laman sesawang konvokesyen.uitm.edu.my atau menghubungi 03-55443110 atau 03-55443114.

“UiTM akan terus memantau perkembangan wabak ini serta menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

“Bersama-sama kita berdoa dan mengharapkan wabak ini dapat ditangani segera dan kita semua dijauhi musibah serta sentiasa dilindungi Allah SWT,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here