PEMBABITAN bekas Ketua Bahagian Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) membuktikan beliau tidak lagi mendapat tempat di kalangan pemimpin parti utama.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional Negeri (PN) Johor, Mohd Solihan Badri, berkata ternyata Mazlan tidak mendapat perhatian walaupun pernah menyatakan sokongan terbuka kepada Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Hasni Mohamad.
“Perkara itu dinyatakan ketika mengumumkan keluar Bersatu pada 27 Januari lalu.
“Mazlan pada tarikh sama turut mengisytiharkan dirinya tidak akan menjadi ahli mana-mana parti tetapi menyokong BN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, perkara itu sekali gus menimbulkan persoalan mengapa Mazlan tidak menyerti Umno dan bagaimana status sokongannya terhadap Hasni pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.
“Kita tidak tahu sejauh mana ketulenan jiwa dan keikhlasan perjuangan individu seperti Mazlan kepada kepentingan Bangsa Johor sehingga sanggup membawa aspirasi parti tempatan Sabah untuk Bangsa Johor.
“Bersatu juga sangsi dengan matlamat dan hala tuju Warisan serta tindakan parti itu untuk bertapak di Johor termasuk melibatkan Mazlan tanpa memeriksa pencapaian politik dan prinsipnya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Solihan berkata, Bersatu turut menyangkal kenyataan Mazlan mendakwa beliau tidak meninggalkan parti itu lebih awal kerana mahu menjaga kestabilan Kerajaan Johor.
Beliau berkata, hakikatnya Mazlan memang menunggu kerajaan negeri dibubarkan bagi membolehkan beliau menerima bayaran pencen sebagai wakil rakyat dan EXCO Kerajaan Negeri.
“Itulah yang sering beliau cakap secara terbuka di depan kita (EXCO) dan Menteri Besar. Pencen..pencen…pencen. Beliau juga pernah memberitahu tidak akan bertanding lagi dalam pilihan raya,” katanya.
Namun, Mohd Solihan berkata, kenyataan Mazlan yang tidak mahu terlibat dengan pilihan raya hanya omong kosong kerana sikapnya yang oportunis.
“Beliau bukan sahaja menjadi EXCO kerana mahu mendapat bayaran pencen malah yang terkini sanggup menaja penubuhan Parti Warisan di Johor apabila ada bayaran lumayan.
“Kami ingin memberi perumpamaan bahawa tidak hairan beliau juga kemungkinan sedia melakukan perkara sama jika ada pihak lain dari luar negara yang mahu beliau menaja menubuhkan parti di negara ini,” katanya.
Semalam, media melaporkan Mazlan Bujang dijangka menyertai Warisan menjelang PRN Johor, 12 Mac ini.
Hal itu terbongkar selepas gambarnya dipaparkan seketika di skrin besar semasa Majlis Pelancaran Parti Warisan Johor, di Taman Sutera, malam tadi. – Malaysiapost

