Warisan sah bertanding di Johor

0
1
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal

PRESIDEN Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan parti itu bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Selain itu, beliau turut mengumumkan bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai, Suhaimi Salleh sebagai Pengerusi Warisan Negeri Johor.

Beliau mengesahkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Pelancaran Parti Warisan Johor dan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan di Taman Sutera, Johor Bahru malam tadi.

Mohd Shafie berkata, tidak ada salahnya jika kerajaan yang baharu datangnya daripada sebuah parti yang diasaskan di Sabah.

“Sudah tiba masanya kita tidak lagi main kad perkauman dan agama dalam politik, negara ini bukan milik satu kaum sahaja tetapi sebaliknya semua kaum.

“Jika pemimpin Umno boleh datang dari Bagan Datoh, pemimpin PKR boleh datang dari Permatang Pauh, jadi apa salahnya jika kerajaan Warisan datang dari Sabah?” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Tambahnya, Warisan bukan sahaja mahu bertanding PRN Johor dan tubuhkan kerajaan negeri, tetapi mahu tubuhkan kerajaan Malaysia supaya dapat bantu semua.

“Saya telah bekerjasama dengan semua pemimpin politik di negara ini, ketika bersama Umno selama lebih 30 tahun, saya bekerja bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Najib Razak dan lain-lain.

“Kemudian enam tahun ketika bersama Pakatan Harapan (PH), saya juga telah bekerjasama dengan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu, jadi saya tahu dan kenal mereka semua.

“Saya yakin Warisan adalah pilihan terbaik buat masyarakat negara ini dalam menubuhkan kerajaan yang akan membela mereka, kita mahu tubuhkan kerajaan,” jelasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here