BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berpendapat masa paling tepat untuk kerajaan membenarkan pengeluaran khas kali terakhir i-Citra ialah selepas dividen 2021 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibayar kepada pencarum.
Menurutnya, dividen berkenaan dijangka akan diumum dan dibayar tidak lama lagi iaitu sebelum hari raya Aidilfitri.
Beliau berkata, prestasi KWSP bagi tahun 2021 adalah lebih baik kerana pelaburan luar negara tabung itu terutamanya di Amerika Syarikat (AS) mendapat pulangan yang sangat baik.
“Walaupun ianya masih rendah berbanding kadar 6.9 peratus bagi dividen tahun 2017 sebelum ekonomi merudum selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), ramalan dividen antara 5.2 hingga 6 peratus bagi tahun lalu masih pada kadar yang baik.
“Dulu, ramai juga yang kecam saya kenapa saya pernah keluarkan kenyataan bahawa saya mahu KWSP melabur di AS dan bukan hanya di Malaysia ketika saya melawat Presiden AS,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, dengan sokongan yang diumum Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari semalam mengenai pengeluaran kali terakhir i-Citra, beliau lebih optimis tentang tuntutan rakyat itu.
“Saya lebih optimis bahawa menteri-menteri PN akan akhirnya tidak lagi membantah tetapi akan menyokong permintaan pengeluaran khas ini dan ianya akan menjadi realiti.
“Harap Ketua Pemuda PN/Pas (Ahmad Fadhli) seorang ini akan berusaha untuk memujuk Presiden PPBM (Bersatu) dan Pas serta menteri-menteri PN bagi memberi sokongan,” katanya. – Malaysiapost

