MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengesahkan jururawat yang menyuntik anaknya menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) sangat profesional dan baik.
Malah menurut Khairy, taktik tidak menunjukkan jarum sangat berkesan dan membantu menenangkan anaknya.
“Semoga semua dokor dan nurse yang terlibat dalam PICKids dilindungi dari fitnah pihak tertentu,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.
Terdahulu jururawat yang memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada Khairy baru-baru ini, menafikan tuduhan dirinya tidak menyuntik vaksin berkenaan kepada kanak-kanak itu.
Menerusi video berdurasi empat minit yang dikongsi Kementerian Kesihatan (KKM) sebentar tadi, memaparkan penjelasan daripada jururawat tersebut.
“Saya lakukan prosedur sama seperti ibu bapa yang lain..saya ambil vaksin dan tunjukkan kepada ibu dan ayah.. Cara saya ‘screen out’ botol ‘vile’ itu dan saya tunjukkan volume yang saya ‘reach out’ yang akan diberikan kepada kanak-kanak.
“Saya akan tunjuk justeru ibu dan bapa mereka nampak dan setuju dengan dos tersebut yang mana Pfizer untuk kanak-kanak 0.2 ml, sebab kita deal dengan kanak-kanak jadi kita tahu anxiety mereka terhadap jarum tu macam mana.
“Maka saya kena interact dengan budak tu juga.. win-win situation.. maksudnya saya boleh cucuk dia dengan baik dan dia pun tak takut dengan saya,” katanya.
Beliau juga menafikan membuang vaksin yang diberikan kepada kanak-kanak terbabit.
“Demi Allah saya tak ada langsung keluarkan apa-apa vaksin yang tidak masuk pada badan budak-budak itu.
“Bila saya pegang dia, kerana dia berdiri tepi saya jadi nak elakkan dia lari atau bergerak..tangan saya terpaksa pegang lengannya dan saya kena dekat dengan dia yang mana tangan sebelah kanan saya (pegang jarum suntikan) pula.
“Kalau saya tunjuk secara terus kepada dia akan nampak lebih jelas jarum itu dan dia akan takut,” katanya. – Malaysiapost

