JKM perlu segerakan pertemuan ibu dan anak – Nurul Izzah

0
2
Permatang Pauh MP Nurul Izzah Anwar (right) explaining about the ' ROSE - Towards Cervical Cancer Elimination in Malaysia' programme in Permatang Pauh yesterday. - Starpic by MUSTAFA AHMAD/The Star/26 February 2019.

JABATAN Kebajikan Malaysia (JKM) harus tanpa syarat menyegerakan pertemuan ibu dengan anak-anak, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Perkara itu disuarakan Nurul Izzah menerusi ciapan di Twitternya, susulan laporan seorang ibu bernama Loh Siew Hong meluahkan rasa sedih dan tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan melawat anak-anaknya di pusat perlindungan bawah JKM di Perlis atas alasan sekatan Covid-19.

Namun pihak terbabit membenarkan Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin, bertemu dan meluangkan masa dengan anak-anaknya.

Tambah Nurul Izzah, kebajikan anak-anak bukan hanya terhad kepada aqidah, tetapi juga emosi dan fizikal.

“Tidak dipisahkan daripada kedua-dua ibu bapa – yang secara konsisten diberi akses kepada anak-anak,” tulisnya.

Semalam, media melaporkan ibu tunggal yang baru-baru ini mengetahui tiga anaknya diislamkan, amat terkejut selepas mendapat tahu Mufti Perlis menyoal anak-anaknya tentang pertukaran agama mereka.

Siew Hong berasa amat sedih kerana Mohd Asri, yang tiada pertalian darah dengan keluarganya, boleh meluangkan masa dengan anak-anaknya ketika beliau sendiri tidak dibenarkan susulan sekatan Covid-19.

Beliau berkata demikian selepas Mohd Asri memuatnaik video memaparkan beliau bersama anak-anak Siew Hong dan bertanya apakah mereka mahu kekal menjadi orang Islam dan apakah mereka terpaksa atau dipaksa memeluk agama itu.

Beliau tidak dapat bertemu tiga anaknya itu sejak tiga tahun lalu kerana berlindung di sebuah pusat perlindungan kes keganasan rumah tangga.

Ketika itu juga beliau dalam proses memohon perceraian dan hak jagaan ke atas anak-anaknya.

Siew Hong berjaya menceraikan suaminya dan mendapat hak jagaan penuh ke atas anak-anaknya tahun lalu. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan polis memastikan anak-anaknya dipulangkan kepada ibu mereka.

Beliau kemudian telah dibenarkan untuk bertemu anak-anak di Perlis, tetapi mengambil keputusan untuk meletakkan mereka bawah jagaan JKM sehingga saman habeas corpus didengar pada 21 Februari ini.

Bagaimanapun, ibu tunggal itu tidak dapat melawat mereka semalam dikatakan kerana ada sekatan baharu ke atas pengunjung di pusat itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here