JENTERA Barisan Nasional (BN) termasuk petugas Puteri Umno akan bekerja lebih kuat dalam usaha merampas semula tiga kerusi milik BN di zon timur yang ‘terlepas’ kepada Bersatu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan berkata pada PRU14 lalu, BN menang semua lapan kerusi di zon berkenaan.
Bagaimanapun katanya, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN berpaling tadah dengan menyertai Bersatu selepas PRU14.
“Kita (BN) menang kesemua lapan DUN di kawasan ini (zon timur) tapi tiga melompat ke PPBM (Bersatu).
“(Jentera Puteri) Kerja kuat untuk pastikan DUN berkenaan kembali milik BN. Selamat berjuang Jentera BN Kota Tinggi, Tenggara, Pengerang dan Mersing,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu berlangsung majlis penyerahan negeri angkat bagi zon Timur disempurnakan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.
Zon Timur membabitkan kawasan Parlimen Mersing, Tenggara, Kota Tinggi dan Pengerang. – Malaysiapost

