Lelaki tunjuk gari, menyamar anggota polis ditahan

0
2

SEORANG lelaki menyamar anggota polis dengan menghantar rakaman video menunjukkan sepasang gari dengan niat menakutkan seorang peniaga berkaitan isu rumah sewa, ditahan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata suspek berusia 30-an yang bekerja sebagai buruh itu ditahan di Jalan Bertam 2, Kepala Batas, kira-kira jam 10 pagi.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek dipercayai merakam video tersebut dengan niat untuk menakutkan mangsa yang bekerja sebagai peniaga.

“Selain itu, suspek didapati meminta mangsa berusia 32 tahun supaya menghormatinya susulan masalah dihadapi antara mereka sebelum ini berkaitan isu rumah sewa.

“Tangkapan ke atas suspek berusia 30-an yang berasal dari Sungai Petani itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara selepas mangsa membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan.

Rahimi berkata, polis turut merampas telefon bimbit digunakan untuk membuat rakaman dan sepasang gari bersama anak kunci daripada suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan (menyamar sebagai penjawat awam) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Kes ini juga disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 (memiliki peralatan polis tanpa kebenaran) yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menyamar sebagai penjawat awam kerana ia kesalahan jenayah yang boleh diambil tindakan undang-undang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here