PAS yang bertanding di bawah logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menawarkan agenda politik matang dan sejahtera dengan menampilkan kejayaan parti itu bersama dalam pentadbiran Kerajaan Pusat dan negeri ditadbirnya.
Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata PAS mempunyai bahan kempen yang terlalu banyak untuk dipasarkan kepada rakyat menerusi agenda berkenaan.
Bekas setiausaha Majlis Syura PAS itu berkata antaranya kejayaan parti itu sepanjang bersama kerajaan Persekutuan menerusi lima menteri dan timbalan menteri selain mengetuai anak syarikat kerajaan.
Jelasnya, PAS juga berjaya menyelamatkan Kelantan daripada terpalit isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa dengan menekankan konsep Ubudiyah Mas’uliyah Itqan sejak memerintah negeri itu sejak 1990.
Beliau turut menggariskan kemampuan PAS mengemudi Terengganu dengan menyediakan pakej program rakyat, membawa pelaburan di Kedah dan kejayaan tiga Exconya dalam Kerajaan Perak.
“PAS mempunyai bahan kempen yang terlalu banyak untuk dipasarkan kepada rakyat menerusi agenda politik matang.
“Selamat berjuang dalam PRN Johor,” kata bekas menteri bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.
Pada 11 Februari lalu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan Mohd Khairuddin digugurkan daripada jawatan setiausaha Majlis Syura PAS atas masalah disiplin.
Bulan lepas Khairuddin dipecat sebagai anggota jawatankuasa pusat PAS, tidak sampai dua bulan selepas dilantik.
Dia antara tiga pemimpin tertinggi PAS yang dilantik semula sebagai AJK bagi sesi 2021-2023 selepas tewas dalam pemilihan parti di samping Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
Ketiga-tiga mereka dilihat sebagai pimpinan PAS yang lebih cenderung terhadap kerjasama politik dengan Umno berbanding Bersatu.-Malaysiapost

