JENAZAH pelakon, pengarah dan aktivis teater, Jit Murad, 62, akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur petang ini.
Terdahulu, arwah Jit ditemui tidak bernyawa oleh rakan-rakan di kediamannya di Bukit Damansara, jam 2.15 petang selepas usaha menghubunginya gagal pada Sabtu lalu.
Rakan baiknya, Fizar Harun berkongsi, arwah disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
“Punca kematian diketahui selepas bedah siasat dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
“Keluarga arwah memahami ramai rakan seperjuangan dan peminat ingin memberi penghormatan terakhir.
“Namun, hanya waris terdekat sahaja dibenarkan menghadiri solat dan pengebumian bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika pandemik COVID-19,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Sepanjang kerjaya, arwah Jit disegani sebagai penulis, pelakon dan penerbit teater berdedikasi, dinamik dan berjaya menghasilkan naskhah kontemporari yang meraih beberapa anugerah.
Fizar berkata, dia dimaklumkan ahli komuniti teater Kuala Lumpur sedang merancang acara untuk mengenang arwah Jit.
“Butiran lanjut akan diumumkan, tidak lama lagi.
“Semoga Allah mengampunkan dosa dan menerima segala amalannya. Doakan arwah tenang di alam sana,” katanya.
Jit adalah anak kepada bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Allahyarham Tan Sri Murad Mohamed Noor.
Beliau mula bergiat aktif dalam dunia perfileman, televisyen dan pentas teater pada 1987. Antara teater popular yang ditulis dan dibintangi termasuklah Spilt Gravy On Rice pada 1995, The Storyteller (1996) dan Gold Rain and Hailstones (2002).
Allahyarham dilahirkan di Kuala Lumpur memiliki pendidikan dalam bidang sosiologi, pengajian bandar dan sejarah seni.
Sepanjang kerjaya, arwah disegani sebagai seorang penulis, pelakon dan penerbit teater yang berdedikasi serta dinamik.
Arwah turut dikenali sebagai penulis prolifik di Asia Tenggara selepas berjaya menghasilkan naskhah kontemporari yang meraih beberapa anugerah termasuk Anugerah Boh Cameronian.
Beliau pernah bekerjasama dengan beberapa nama besar termasuk Datuk Krishen Jit, Datuk Zahim Albakri dan Jo Kukathas.
Arwah pernah membintangi filem Selubung, Mimpi Moon, Talentime dan 1957: Hati Malaya. – Malaysiapost

