Insentif pengecualian LKM bagi kenderaan OKU, elektrik

0
1

KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) melaksanakan pemberian Insentif Pengecualian Bayaran Fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan orang kelainan upaya (OKU) dan kenderaan motor elektrik (EV).

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata keputusan itu dibuat selaras dengan pengumuman kerajaan melalui Bajet 2022.

Katanya, tempoh pengecualian bagi kenderaan motor elektrik (EV) dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2025.

“Kenderaan motor elektrik melibatkan motokar yang dipacu oleh sumber elektrik (atau Electric Vehicle, EV) dan Pengecualian fi LKM bagi EV hanyalah melibatkan kenderaan yang dipacu oleh sumber elektrik sepenuhnya sahaja, sama ada yang dikuasakan dengan Bateri atau Fuel Cell sahaja.

“Pengecualian ini tidak terpakai kepada mana-mana kenderaan motor jenis hybrid yang masih mempunyai enjin pembakaran dalaman sama ada dengan sumber petrol mahupun diesel.

“Permohonan bagi mendapatkan pengecualian ini adalah mulai pada 15 Februari 2022,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Sementara itu, beliau berkata, bagi pengecualian Fi LKM bagi kenderaan motor OKU sepenuhnya adalah hanyalah terpakai kepada kenderaan motor yang telah diubahsuai khas untuk kegunaan OKU atau bagi kenderaan motor yang tidak diubahsuai.

“Namun, pengecualian itu hanya kepada Kenderaan Pemasangan Tempatan (CKD) dan Kereta Nasional sahaja.

“Kenderaan motor terbabit hendaklah didaftarkan dan dilesenkan di atas nama individu OKU tersebut, dan individu OKU hendaklah telah berdaftar serta mempunyai kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pengecualian juga dipanjangkan kepada kenderaan motor yang didaftarkan atau dimiliki oleh ibu bapa dan penjaga yang berdaftar dan mempunyai anak OKU serta pasangan suami atau isteri yang mempunyai pasangan OKU, dengan syarat individu OKU terbabit juga telah berdaftar dengan JKM.

“Jadi, permohonan bagi mendapatkan pengecualian ini adalah mulai pada 15 Mac 2022,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pemilik kenderaan yang terlibat boleh membuat permohonan kepada JPJ.

“Pemilik kenderaan atau wakil boleh hadir ke kaunter JPJ untuk menyerahkan balik LKM tersebut dan berhak dibayar dengan cara rebat apa-apa amaun sebagaimana yang ditetapkan.

“Seterusnya, pemilik kenderaan atau wakil boleh memohon bagi mendapatkan pengecualian LKM semula ke atas kenderaan mereka mengikut ketetapan di atas,” katanya.

Ka Siong berkata , orang ramai boleh menghubungi talian perhubungan khidmat pelanggan JPJ bagi mendapatkan lain-lain maklumat dan perincian mengenai pelaksanaan insentif berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here