SISTEM Pelesenan Atas Talian (ISPKP) yang bakal diperkenalkan tahun ini diharap dapat memudahkan orang ramai berurusan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada masa akan datang.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pelaksanaan sistem baharu itu bagi menggantikan sistem pelesenan sedia ada yang sudah berusia 20 tahun.
Katanya, beliau berkesempatan melawat Pejabat APAD Wilayah Selatan Di Menara Cyberport, Johor Bahru hari ini.

“Saya diberi taklimat oleh Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pelesenan Komersil, Encik Mohd Lutfi Bin Ahmad mengenai pengoperasian APAD Wilayah Selatan yang turut merangkumi Negeri Johor dan Melaka.
“Pejabat APAD Wilayah Selatan ini menerima kira-kira 2,800 pengunjung dan menerima sekitar 3,000 permohonan permit dan lesen setiap bulan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Ka Siong berkata, dalam lawatan itu beliau juga bertemu dengan beberapa pelanggan yang berurusan di pejabat tersebut dan rata-rata mereka berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga APAD Wilayah Selatan.
“Saya juga mengingatkan mereka untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai, terutamanya ketika para pengusaha pengangkutan awam berdepan waktu sukar serta terkesan akibat pandemik Covid-19 yang memerlukan sokongan dan bantuan,” katanya. – Malaysiapost

