Hishammuddin, Vigneswaran, Hasni dikompaun langgar SOP

0
1
PUTRAJAYA, 9 Sept -- Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

TIGA pemimpin Barisan Nasional (BN) yang hadir ke pelancaran Briged MIC hari ini akan dikompaun atas kesalahan melanggar prosedur standard operasi (SOP).

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi ciapan Twitter, hari ini.

Dalam hantaran itu, Khairy mengarahkan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kompaun itu terhadap Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran; Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.

“Saya telah mengarahkan pegawai KKM Putrajaya untuk keluarkan kompauan kepada Datuk Seri Hishammuddin, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Tan Sri SA Vigneswaran, pemimpin utama yang hadir dan penganjur bawah Akta 342.

“KKM akan terus pantau SOP sempena PRN Johor,” tulisnya dalam hantaran itu.

Program pelancaran Briged MIC Negeri Johor yang diadakan di Stadium Tertutup Educity, Iskandar Puteri, masih berlansung dengan Hasni yang juga Ketua Penyelaras Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sedang memberi ucapan, sekali gus melancarkan program itu.

Difahamkan, kira-kira 3,000 ahli MIC hadir pada program berkenaan.

Sementara itu, Hishammuddin menerusi ciapan terkini di Twitternya mengesahkan sudah mengetahui berkenaan hal tersebut, dan mengakui terdapat kelemahan dalam pelaksanaan SOP dalam majlis tersebut.

“Saya hadir sebagai tetamu dan saya terima, memang ada kelemahan dalam pematuhan SOP tadi. Tapi salah tetap salah.

“Tiada sesiapa yang boleh melanggar undang-undang, termasuk saya. Kejadian ini patut menjadi pengajaran untuk kita semua.

“Dalam program politik, dalam apa jua kelonggaran yang diberi kita jadi susah nak kawal. Ini boleh diambil kira Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam SOP PRN Johor,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here