‘Politik Malaysia stabil jika Umno kurang majoriti’ – MB Kedah

0
1

FORMULA mewujudkan kestabilan politk di Malaysia adalah apabila kerusi Umno kurang, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, berkata Kerajaan Kedah menjadi kerajaan paling stabil di Malaysia kerana Umno mempunyai jumlah kerusi yang paling sedikit.

“Kami PAS, Bersatu, Barisan Nasional (BN) buat kerajaan daripada hari pertama membentuk kerajaan pada 17 Mei 2020 sampai ke harini kerajaan Kedah adalah kerajaan paling stabil di Malaysia.

“Di Melaka, Umno kerusi banyak, akhirnya dia khianat kawan dia sendiri, tumbang Melaka. Kerusi dia di sini (Johor) pun banyak juga, tumbang kerajaan ni dia sendiri yang tumbangkan,” katanya seperti dilapor HarakahDaily.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda Perikatan Nasional Johor di Taman Sri Wangsa, Parit Besar, Johor, malam tadi.  

Muhammad Sanusi berkata, di Kedah PAS ada 15 kerusi, Bersatu (enam), PH (13) dan Umno hanya dua kerusi.

Beliau mempersoalkan di peringkat Persekutuan, Umno memimpin boleh membuat MoU perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan pembangkang, kenapa di Johor tidak boleh.  

Katanya, di Johor bukan hendak mewujudkan kestabilan tetapi tujuan PRN adalah untuk menambah kerusi Umno dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau menegaskan rakyat akan menghadapi bahaya jika memilih Umno-BN lagi kerana mereka mengaut segala kekayaan untuk diri sendiri.

“Apa yang ada dikeliling kita akan hilang semua akan dibolot oleh Umno, sama ada kuasa, politik dan ekonomi.

“Saya mohon rakyat negeri Johor beri peluang kepada PN yang ada PAS, Bersatu dan Gerakan. PN merupakan satu kumpulan yang akan menawarkan kerajaan yang lebih baik daripada yang ada di negeri Johor.

“Kita kena hantar signal yang betul kepada Malaysia dalam PRN negeri Johor iaitu jika BN menang selesa di Johor maka PRU akan disegerakan,” katanya.

Beliau menegaskan, rakyat akan digambarkan seolah-olah BN telah kembali pulih kleptokrasi dan korupsi boleh diterima dan kes mahkamah tidak menjadi kesalahan. 

Katanya, signal itu akan mempengaruhi generasi akan datang manakala negara akan rosak.

Justeru, tegas beliau, demi kebaikan negeri dan negara, rakyat Johor perlu menolak kleptokrasi korupsi dan janji palsu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here