KENYATAAN Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menggambarkan kestabilan politik boleh dicapai sekiranya Umno tidak lagi memerintah adalah liar dan kasar.
Timbalan Ketua Umno Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata kenyataan tersebut juga dengan jelas menggambarkan persepsi dan pandangan PAS terhadap Umno, sekali gus menjadi penanda aras kedudukan Muafakat Nasional (MN).
Katanya, ternyata pada pandangan PAS Kedah, Umno bukanlah rakan yang mereka hormati.
“Baik Umno, mahupun PAS, malah sesiapa sahaja. Janganlah kita sombong dengan kedudukan kita. Merendah-rendahkan orang lain.
“Lebih teruk, merendah-merendahkan mereka yang sebenarnya menjadi penyangga yang menopang kita berdiri. Yang demikian sangat angkuh dan sombong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shaiful Hazizy juga mempersoalkan sama ada Muhammad Sanusi sudah lupa bahawa kerajaan PAS terbentuk di Kedah dengan sokongan Umno.
Malah, katanya, dalam kebanyakan kerajaan sama ada di peringkat pusat dan negeri, Umno adalah entiti yang sama-sama membentuk Kerajaan.
“Benar, tanpa Umno masih ada kerajaan di sesetengah negeri akan kekal memerintah. Namun, untuk menyatakan bahawa tanpa Umno, semua kerajaan ini dan politik kita akan lebih stabil, adalah tidak berasas dan tidak berpijak di bumi yang nyata.
“Saya harap YAB Menteri Besar melihat kembali keadaan ini, dengan berdasarkan fakta dan realiti semasa. Bukannya dipandu oleh emosi yang dilampiaskan sesedap rasa menjelang musim pilihanraya,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau berkata berdasarkan kedudukan itu, wujud keperluan untuk Umno Kedah menilai semula hubungannya dengan PAS.
“Adalah tidak produktif jika kita terus menerus cuba berpura-pura bahawa kita boleh bekerjasama, sedangkan yang terlihat saban hari adalah kerapuhan demi kerapuhan yang seakan tidak boleh diselamatkan.
“Kedua-dua parti ini harus tegas dan jelas dalam pendirian masing-masing. Jika ingin memilih haluan berbeza, nyatakan. Jika terus mahu bekerjasama, berperangailah dengan cara yang menggambarkan niat tersebut, dan bukan sebaliknya,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan PAS harus berhenti berlagak sombong, dan Umno mesti berani mengambil ketetapan bermaruah.
Tambahnya, beliau tidak melihat wujud potensi dan masa depan yang baik dari kedudukan dan hubungan sedia ada untuk Umno dan PAS.
“Pada pandangan pemimpin kecil spt saya, Umno Kedah seharusnya buat keputusan sekarang, dan keangkuhan Menteri Besar perlu diberi pengajaran yang setimpal,” katanya. – Malaysiapost

