KETUA Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan menegaskan kestabilan politik sudah sinonim dengan Umno.
Beliau berkata, ianya dapat dilihat di mana parti yang bergaduh sesama sendiri sehingga menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan setelah 22 bulan bukan Umno.
“Yang mengubah Menteri Besar sendiri dalam tempoh kurang setahun, bukan Umno.
“Yang kerap mengubah Pengerusi parti negeri, bukan Umno,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Shahril Sufian berkata, Umno juga bukan termasuk antara yang menunda dan membatalkan projek yang sepatutnya menguntungkan rakyat Johor semata-mata tidak mahu apa-apa legasi pra Pilihan Raya Umum ke-14.
Katanya, selain itu yang memancing pemimpin untuk melompat parti sehingga memaksa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka juga bukan Umno.
“Yang melemahkan Muafakat Nasional dengan bersama mendaftar pakatan lain sewaktu MN sedang kukuh, bukan Umno.
“Parti lain yang bersaing bolehlah cuba promosikan naratif lain. Kerana rakyat semakin sedar bahawa apa pun kekurangan parti Umno, kestabilan dan kemampuan tadbir urus bukan dalam kalangan kekurangan itu,” katanya. – Malaysiapost

