HANYA 440,000 daripada 2.1 juta generasi baharu FELDA yang tinggal di 317 tanah rancangan di seluruh negara manakala kira-kira 1.6 juta telah berhijrah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, berkata, ia menyebabkan FELDA terpaksa menggunakan tenaga asing bagi menguruskan ladang-ladang kelapa sawit dan getah.
Katanya, malah ada di antara rumah peneroka ditinggalkan tanpa penghuni kerana waris tidak berminat untuk meneruskan legasi itu.
“Generasi baru khususnya golongan belia adalah penyambung warisan kepada peneroka awal bagi memastikan tanah rancangan tidak kosong.
“Kerajaan menyedari perkara ini. Saya sentiasa mendengar dua perkara utama yang dihadapi oleh golongan muda di kawasan FELDA iaitu perumahan dan peluang pekerjaan di kawasan FELDA,” katanya dalam perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM), Kami Anak FELDA Kebangsaan (KAF) dan Permuafakatan Siswa Siswi FELDA (PERSADA) hari ini.
Ismail Sabri berkata, projek perumahan generasi baharu FELDA menjadi aspek penting dalam meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti tersebut keseluruhannya.
Jelas beliau, generasi kedua yang bekerja di FELDA tak mampu dapat pembiayaan dari segi kerana tidak mempunyai slip gaji.
“Rumah dirancang tidak berjaya maka sebab itulah Kerajaan memperkenalkan konsep baru iaitu generasi boleh bina rumah sendiri di lot-lot yang ada, murah dan boleh dimiliki.
“Saya juga berharap pelaksanaan Program Pembangunan Peneroka (PPP) dapat dipercepatkan lagi kerana projek ini bukan sahaja akan menjana pendapatan tambahan kepada peneroka, malah secara langsung akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada warga FELDA,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan bersetuju melantik belia FELDA sebagai ahli lembaga FELDA bagi membolehkan mereka sama-sama membangunkan negara.
Selain itu, katanya sebanyak RM300,000 untuk MBFM, RM200,000 KAF dan RM100,000 PERSADA diperuntukkan bagi membantu mengadakan program untuk golongan belia.
“Belia sebagai aset negara bukan sekadar retorik. Jika kita percaya aset sebagai harta khazanah tak ternilai, maka seperti itulah kita harus memberi nilai tambah berkenaan kepada diri,” katanya. – Malaysiapost

