BERSATU jangan lupa parti itulah yang membudayakan tawaran dan imbuhan untuk memancing ‘katak politik’, dakwa Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Razlan Rafii.
Katanya, lebih memburukkan Bersatu apabila presidennya sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengamalkan ‘scheme of things’ untuk meneruskan kelangsungan partinya dan Perikatan Nasional (PN).
“Scheme Of Things yang diajar Muhyiddin kepada ahli Bersatu semuanya berasaskan imbuhan peribadi. Bapa borek anak rintik, itulah hasil di dalam Bersatu hari ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost, hari ini.
Justeru, Razlan berkata, beliau tidak hairan dengan kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Johor, Solihan Badri yang disifatkan seperti meludah ke langit, lalu menimpa muka sendiri.
Jelasnya, rakyat menjadi pemerhati parti manakah yang mengamalkan imbuhan dan tawaran kepada ‘katak-katak politik’ untuk terus melompat.
“Apabila beliau membangkitkan isu imbuhan dan tawaran jawatan. Rakyat semua nampak jelas, setiap Ahli Parlimen Umno yang dicuri oleh Bersatu mendapat habuan jawatan,” katanya.
Mengulas dakwaan Solihan yang menggesa rakyat tidak mudah percaya ramai ahli Bersatu meninggalkan parti itu, Razlan menegaskan, Bersatu dan pemimpinnya sedang mengalami syndrome penafian ketika ini.
“Solihan berkata jangan percaya Ahli Parti Bersatu yang keluar dari Bersatu, adakah berita Mazlan Bujang tidak benar, adakah berita 1,000 ahli Bersatu serta pengasas Bersatu di Muar keluar juga tidak benar.
“Bersatu terus cuba menipu ahli mereka bahawa parti itu semakin hilang keyakinan akar umbi. Menunggu masa untuk dikuburkan,” katanya. – Malaysiapost

