Organisasi masyarakat sivil cadang empat langkah tangani kematian dalam tahanan

0
1

ORGANISASI masyarakat sivil Malaysia menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta kerajaan mengaplikasikan empat cadangan dalam usaha membendung kes kematian dalam tahanan polis.

Organinasi mewakili 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam kenyataan
bersama berkata, pihaknya bimbang dengan jumlah kes kematian dalam tahanan yang kian meningkat baru-baru ini, termasuk tujuh kes kematian dalam tahanan PDRM dilapor dalam lima minggu pertama tahun 2022.

“Trend ini amat merisaukan serta tidak boleh diterima sama sekali. Sepanjang dekad ini, umum dan masyarakat sivil menyatakan pendirian tegas dan cadangan komprehensif kepada PDRM dan kerajaan, namun pihak berkuasa masih gagal mencegah kes kematian dalam tahanan dan membenarkan insiden sebegini berulang.

“Jumlah kematian dalam tahanan polis yang mencecah tujuh kes dalam tempoh lima minggu pertama tahun 2022 harus dilihat sebagai darurat yang sedang mengancam hak untuk hidup yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

“Justeru, PDRM perlu memandang serius terhadap punca-punca menyebabkan kematian sebegini kerap berlaku dan menambah baik cara pengendalian kes kematian sebegini dengan segera,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, empat langkah yang perlu diambil bagi menangani perkara itu adalah pertama menjalankan inkuses ke atas ketujuh-tujuh kes kematian dalam tahanan polis dengan serta-merta.

“Walaupun siasatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) berkaitan ketujuh-tujuh kes kematian dalam tahanan polis telah selesai, namun prosiding inkues masih perlu dijalankan mengikut Seksyen 334 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

“Kami menyeru agar PDRM bekerjasama dengan pendakwa raya, dan meminta pendakwa raya menggunakan kuasa beliau di bawah Seksyen 339 Kanun Tatacara Jenayah untuk mengarahkan koroner menjalankan siasatan ke atas setiap kematian dalam tahanan.

“Kedua, menubuhkan unit kesihatan atau pusat rawatan (in-house health facilities) di dalam setiap pusat tahanan polis,” katanya.

Selain itu, menurut mereka, kerajaan perlu melantik badan luar yang bebas untuk menyiasat kes-kes terbaru kematian dalam tahanan.

“Kami mendesak supaya langkah-langkah sesuai diambil untuk melantik badan luar yang telus dan bebas untuk menyiasat kesemua kematian dalam tahanan baru-baru ini,” katanya.

Tambahnya, langkah akhir adalah menarik balik Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dan menubuhkan IPCMC.

Katanya, cara ini paling berkesan untuk mencegah kes kematian dalam tahanan polis, menangani kesangsian semasa masyarakat umum dan keraguan, serta mengembalikan keyakinan pihak umum terhadap agensi penguatkuasaan terbesar, iaitu PDRM.

Terdahulu organisasi terbabit bersama Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menghantar memorandum berhubung empat cadangan tersebut kepada Bukit Aman hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here