Dos penggalak: Bukan paksa, tetapi merayu – KJ

0
1

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin menafikan memaksa orang ramai mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19, sebaliknya merayu agar mereka yang belum menerima vaksin berkenaan agar segera mendapatkannya.

Beliau berkata, dos berkenaan adalah penting bagi meningkatkan kembali imunisasi terhadap Covid-19 yang semakin berkurangan selepas beberapa bulan mengambil dos pertama dan kedua.

“Bukan paksa…saya merayu…sebab ini seperti yang saya katakan, analoginya sebagai perisai bagi melawan musuh..perisai sekarang sudah semakin nipis jadi bila musuh datang dengan varian baru kita kena tebalkan sedikit perisai kita..itu sahaja.

“Kita akui berlaku kesan sampingan tetapi sangat sedikit dan kebanyakkannya tidak serius. Kita keluarkan semua data mengenainya melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dengan fakta farmaseutikal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Berskala Besar Pembedahan Urologi (Musi) di Hospital Selayang, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai angka kes harian Covid-19 di Malaysia yang kini melebihi 20,000 kes, beliau berkata walaupun kes tinggi namun situasinya tidak sama seperti tahun lalu.

“Kali terakhir Malaysia mencecah angka lebih 20,000 kes harian Covid-19 adalah pada 11 Ogos 2021. Hari ini walaupun 20,939 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) 158 kes dan kes kematian yang direkodkan semalam adalah 10 kes.

“Buat perbandingan dengan 11 Ogos 2021, kes yang berada di ICU adalah 1,547 kes dan kematian pula adalah 332 kes,” katanya.

Menurutnya, terdapat jangkaan berlaku peningkatan kemasukan ke hospital, namun dengan liputan vaksinasi gejalanya tidak seteruk kes-kes tahun lalu dan kadar kematian tidak terlalu tinggi serta tempoh rawatan juga lebih singkat daripada sebelum ini.

“Jangan hanya lihat pada bilangan kes..bila kes cecah 20,000 terus ingat akan ada lockdown. Kita kena lihat keseriusan kes dimana sekarang ini 99.5 peratus adalah pada kategori 1 dan 2.

“Manakala lebih kurang 0.5 peratus pada kategori 3, 4 dan 5 itu pun kita dapat rawat dengan lebih baik sekarang,” katanya. – Malaysiapsot

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here