Sarawak tidak lagi tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan

0
1

RANG Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 [Akta A1642] berkuatkuasa hari ini seperti yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong , Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata penguatkuasaan Akta A1642 itu adalah satu komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya, akta tersebut merangkumi pindaan kepada Perkara 1(2), 160(2) dan 161A(6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, akta itu adalah signifikan dan merupakan satu ‘khabar gembira’ yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Sabah dan Sarawak.

“Pindaan kepada fasal (2) Perkara 1 dan fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan ini adalah untuk menjelaskan lagi kedudukan negeri-negeri di Malaysia selaras dengan perkara-perkara yang tersurat dan tersirat dalam MA63.

“Manakala pindaan kepada fasal (6) dan (7) Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan adalah memperuntukkan bahawa ras yang dikira sebagai ras asli bagi Sarawak adalah seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang Negeri.

“Oleh itu melalui pindaan ini definisi ras asli di Sarawak adalah tidak lagi tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan boleh ditentukan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sarawak melalui perundangan negeri Sarawak sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022 telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 19 Januari 2022 dan diwartakan sebagai akta pindaan iaitu Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 (Akta 1642) pada 25 Januari lalu.

Katanya, pindaan itu telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 14 Disember 2021 dengan sokongan dua pertiga majoriti (199 ahli) dan Dewan Negara dengan sokongan 49 ahli pada 23 Disember 2021. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here