PENGACARA Neelofa mendedahkan anak sulungnya, Muhammad Bilal sepatutnya lahir pada tarikh sama ulang tahun kelahirannya yang ke-33.
Menerusi hantaran di Instagram, Neelofa berkongsi salinan ultrasound yang turut terpapar tarikh jangkaan bayi lelaki itu dilahirkan pada 10 Februari iaitu hari ini.

Meskipun hajat isteri kepada pendakwah bebas Haris Ismail atau Pencetus Ummah (PU) Riz tidak kesampaian, namun Neelofa akur dengan ketentuan ilahi yang pastinya terbaik buat mereka sekeluarga.
“Permata hati kurniaan Allah ini sepatutnya lahir juga pada hari yang sama dengan ummi dia, tapi aturan dan waktu yang Allah susun itu jauh lebih baik.
“Hadiah teristimewa buatku, menjadikanku seorang ibu. Semoga Muhammad Bilal dibesarkan menjadi anak soleh, permata keluarga yang sentiasa menguatkan kasih sayang dan hubungan dengan Allah SWT. Harta dunia akhirat Abah dan Ummi,” tulisnya di Instagram.
Neelofa selamat melahirkan cahaya mata pertama pada 29 Januari lalu.
Tinjauan di laman Instagram PU Riz pula mendapati beliau menitipkan ucapan istimewa buat isteri tersayangnya itu.
“Terima kasih teman pak ustaz jadi spideriz (Spiderman + Haris). Alhamdulillah atas semuanya.
“Selamat hari jadi isteriku. Semoga Allah beri kebaikan nikmat dan pahala yang banyak atas pengorbanan sebagai ibu. Selamat hari lahir,” catatnya. – Malaysiapost

