
PEREKA grafik, Fahmi Reza didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan mencetuskan penghantaran komunikasi jelik di laman Twitternya berhubung isu peraturan kuarantin terhadap menteri yang pulang dari lawatan rasmi di luar negara, tahun lalu.
Fahmi atau nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin itu bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman, lapor Berita Harian.
Fahmi selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa melakukan kesalahan itu melalui perkhidmatan aplikasi Twitter dengan menggunakan laman profil “Fahmi Reza” atau “@kuasasiswa” di pautan https://twitter.com/kuasasiswa/status/135939740125393, kira-kira jam 3.02 petang, 10 Februari tahun lalu.
Berdasarkan kertas pertuduhan Fahmi didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Penghantaran komunikasi itu dibaca pada jam 4 petang, 11 Februari tahun lalu di Pejabat Ketua Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Kesihatan Malaysia, Presint 1, Putrajaya.
Pertuduhan adalah mengikut seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum bawah seksyen 233(3) akta sama.
Bagi kesalahan itu, Fahmi boleh dikenakan hukuman maksimum denda RM50,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari jika kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000 terhadap OKS, bagaimanapun peguam bela Raj Surian Pillai memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dijamin antara RM4,000 dan RM5,000.
Hakim Datin Sabariah Othman kemudian membenarkan Fahmi dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan pada 30 Mac ini bagi tarikh sebutan. – Malaysiapost
