PH minta kerajaan pertimbang tangguh PRN Johor

0
1

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) mahu kerajaan mempertimbang untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor susulan penularan gelombang Omicron yang semakin membimbangkan.

Menerusi kenyataan hari ini, Majlis Presiden PH berkata ia bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan untuk tujuan politik apa lagi ketika kes harian Covid-19 semalam mencecah lebih 17,000.

Bagaimanapun menurutnya, jika kerajaan enggan menangguhkan PRN dan ingin memberi kelonggaran seperti negara Barat maka kempen terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan.

“Yang pasti Perintah Kawalan Pergerakan penuh (total lockdown) tidak boleh dikenakan kerana terbukti gagal sebelum ini.

“PH juga memberi amaran agar kerajaan tidak menyalahgunakan penguatkuasaan saman ke atas individu dan perniagaan, sebaliknya fokus kepada pendidikan dan kesedaran untuk menangani cabaran gelombang Omicron ini yang rata-rata bergejala ringan.

“Janganlah kerana nak bunuh nyamuk, habis kelambu dibakar,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau.

Berhubung PRN Johor, Majlis Presiden memutuskan PH akan menyediakan siri tawaran di bawah kempen ‘Johor Bangkit: Maju, Bermaruah’.

Menurutnya, ia merangkumi aspek pembangunan ekonomi, pemantapan sosial serta reformasi politik yang akan diumumkan sebelum bermulanya kempen pilihan raya.

“Majlis Presiden juga memutuskan untuk mengadakan siri jelajah penamaan calon-calon PH bagi DUN-DUN yang ditandingi sejurus selepas calon parti-parti dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Ini demi menyatakan kesediaan PH menawarkan saf kepimpinan yang mampu membentuk kerajaan Johor yang lebih stabil dan bersedia membangunkan Johor pasca pandemik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here