Pahang tuntut aktivis alam sekitar mohon maaf isu pembalakan

0
1

KERAJAAN Pahang menuntut permohonan maaf dan ganti rugi RM1 juta daripada Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, berkenaan kenyataan berhubung aktiviti pembalakan di negeri itu.

Aktivis alam sekitar itu diminta berbuat demikian dalam tempoh 14 hari selepas menerima notis bertarikh 4 Februari itu dan jika gagal, tuntutan akan difailkan di mahkamah bersama tuntutan ganti rugi lain.

Beliau dituntut membuat permohonan maaf tanpa syarat secara terbuka dan melalui semua medium sebaran dan perkongsian terutama di Facebook dan Instagram.

Notis tuntutan berkenaan dikeluarkan firma guaman Tetuan Hidayah Ishak & Partners dan turut dikongsi oleh Shariffa Sabrina di laman Facebooknya, hari ini.

Dalam perkongsiannya itu, beliau berpendapat tuntutan berkenaan hanyalah untuk menakutkan orang ramai supaya tidak bersuara dan mempersoalkan kenapa perlu meminta maaf dalam membicarakan isu kemusnahan alam.

“Kenapa nak saman saya…Kenapa saya mesti minta maaf, sepatutnya kerajaan yang kena minta maaf pada rakyat terutama mangsa-mangsa banjir.

“Ini semua untuk menakutkan orang ramai supaya tidak bersuara…Saya bercakap tentang kemusnahan alam pun nak dibalas dendam..Sepatutnya panggil bermuafakat bukan cara macam ni.

“Mereka mungkin berkuasa tapi Allah lagi Maha Kuasa,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan notis tuntutan berkenaan aktivis itu didakwa membuat kenyataan dalam dua catatan Facebook bertarikh 29 Disember dan 30 Disember 2021 serta ketika satu wawancara Sinar Harian pada 12 Januari lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here