KPT pastikan kemasukan pelajar ke kampus mulai Mac lancar

0
1
Sebahagian pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) menunggu dan menaiki bas mengikut SOP yang ditetapkan untuk pulang ke kampung sempena cuti perayaan Aidilfitri di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam hari ini.

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) akan memastikan kemasukan pelajar ke kampus sama ada tempatan atau antarabangsa bermula Mac 2022 berjalan lancar.

Menurut KPT menerusi kenyataan hari ini, ia seperti yang telah diputuskan pada Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 Ke-12 dan pengumuman oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam.

“Keputusan ini dibuat bagi memberi fleksibiliti kepada IPT dalam menentukan mod pembelajaran bersesuaian kepada pelajar.

“Selain itu, ia dapat memberi peluang kepada para pelajar untuk mengenali dan menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran dan kehidupan dalam kampus,” katanya.

Bagaimanapun KPT berkata, aspek keselamatan dan kesihatan pelajar menjadi keutamaan dalam proses kemasukan dan keberadaan pelajar di kampus.

Sehubungan itu, katanya, IPT diingatkan supaya mempunyai kapasiti untuk menampung bilangan pelajar yang hadir secara fizikal dan sentiasa mematuhi SOP pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang ketat.

“Pelaksanaan PdP secara hibrid dan/atau secara dalam talian adalah dibenarkan tertakluk kepada keputusan pihak IPT sendiri.

“Pelajar yang pulang ke kampus juga diminta untuk terus mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri.

“Semua aktiviti sukan dan riadah perlu mematuhi SOP dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM). Pelajar dan ibu bapa boleh hubungi Bilik Gerakan Covid-19 KPT di talian 03-8870 6777/6949/ 6623/6628, layari laman web IPT atau hubungi Pegawai Penyelaras di IPT masing-masing jika terdapat pertanyaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here