SEMUA calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor wajib menduduki ujian psikometrik anti-rasuah (RBTAG) bagi memastikan calon yang dipilih adalah calon yang bersih, tidak terbabit rasuah serta boleh dipercayai.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata teras perjuangan parti berkenaan adalah prinsip menolak dan memerangi rasuah.
“Ini merupakan keutamaan dan prinsip yang menjadi jati diri serta budaya bagi setiap ahli parti Pejuang.
“Maka, bagi membuktikan iltizam Pejuang dalam memerangi rasuah, kesemua mereka yang berpotensi menjadi calon mewakili Pejuang di PRN Johor diwajibkan untuk menjalani ujian RBTAG yang disarankan oleh pihak Rasuah Busters,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, melalui ujian itu Pejuang dapat memastikan calon-calon yang dihantar adalah bersih dan tidak terbabit dengan rasuah serta mempunyai tahap kebolehpercayaan yang tinggi berbanding calon-calon lain.
“Ujian ini adalah komitmen Pejuang untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan dalam masa sama menzahirkan hadrat untuk mengubah nasib Bangsa dan negara.
“Dengan menjamin masa depan yang bebas rasiah, berintegriti serta mengembalikan kegemilangan Malaysia yang tercinta,” katanya. – Malaysiapost

