Hanya seorang ahli Bersatu Maran sertai Umno

0
2

KETUA Bersatu Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin mendakwa hanya seorang ahli bahagian berkenaan yang keluar parti dan menyertai Umno, bukan 32 orang seperti diumumkan oleh kepimpinan Umno Pahang, semalam.

Menurutnya, individu berkenaan adalah Siti Nora Mohamad Noor yang juga sebenarnya bukan Ketua Srikandi bahagiannya seperti didakwa.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Siti Nora bukanlah Ketua Srikandi Bahagian Maran dan kesemua 31 orang lagi sebenarnya ahli Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Maran.

“Bersatu Bahagian Maran tidak mempunyai rekod keahlian mereka. Hanya Siti Nora seorang sahaja ahli Bersatu sejak 10 April 2021 dan beliau tidak terpilih sebagai Ketua Srikandi Bahagian Maran dalam pemilihan pada 28 November lalu

“Ketua Srikandi Bahagian Maran yang dipilih adalah Nur Amirah Shafiqah Mohamad Latipi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pengumuman dibuat oleh Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Roddy Wan Wan Ismail bersama Ketua Umno Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin mengenai 32 orang ‘pimpinan’ Bersatu Maran meninggalkan Bersatu untuk menyertai Umno, semalam.

Menurutnya, sebagai sebuah parti politik yang mengamalkan prinsip demokrasi, kepimpinan Bersatu Bahagian Maran bersikap terbuka dan menghormati keputusan dibuat oleh Siti Nora meninggalkan Bersatu untuk menyertai Umno atau mana-mana siasah sekalipun.

Beliau berkata, bagaimanapun Shahaniza tidak meneliti dan telah memberi maklumat salah mengenai perkara ini.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa kepimpinan Bersatu Bahagian Maran yang terpilih pada Persidangan Tahunan yang lalu masih kekal utuh dan bergerak sebagai satu pasukan bersama kepimpinan Srikandi dab Armada Bahagian,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here