4,186 jawatan tetap akan diwujudkan di KKM tahun ini – KJ

0
1
https://www.facebook.com/photo/?fbid=237627165065961&set=pb.100064560379224.-2207520000..

KERAJAAN bersetuju supaya sebanyak 4,186 jawatan tetap tambahan diwujudkan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun ini membabitkan 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata lantikan bagi perjawatan tetap tambahan itu akan dibuat bermula Jun ini.

Beliau berkata, Jemaah Menteri juga telah bersetuju agar sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi diwujudkan di KKM pada setiap tahun bermula 2023 hingga 2025.

“Selain itu, Jemaah Menteri turut bersetuju supaya sebanyak 800 jawatan tetap pakar perubatan dan 70 pakar pergigian diwujudkan di KKM pada setiap tahun mulai tahun depan bagi menampung keperluan pakar perubatan tetap di fasiliti kesihatan di bawah KKM.

“Melalui keputusan terbaharu ini, sekurang-kurangnya 8,686 perjawatan tetap tambahan membabitkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi akan diwujudkan sepanjang tempoh 2022 hingga 2025,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairy berkata, sebagai tambahan, 800 lagi lantikan tetap untuk pegawai perubatan dan 70 pegawai pergigian boleh dibuat pada setiap tahun bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pegawai yang akan dilantik menjadi pakar perubatan.

“Jemaah Menteri juga telah bersetuju dengan pelan hala tuju atau ‘roadmap’ yang sedang dibangunkan oleh KKM bersama agensi dan kementerian berkaitan bagi mencari penyelesaian jangka masa pendek, sederhana dan panjang dalam kemelut berhubung pegawai lantikan kontrak ini,” katanya.

Menurutnya, antara pelan hala tuju berkenaan adalah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Sarjana Muda Perubatan (SMP) dan Sarjana Muda Pembedahan Pergigian (SMPP) bagi mengoptimumkan kapasiti penawaran program dan mengawal kualiti graduan.

“Menilai dan mengemaskini senarai Jadual Kedua Akta Perubatana 1971 dan melaksanakan Peperiksaan Kelayakan Profesional bagi menangani isu kualiti dan kopentensi graduan.

“Program Pengajian Kepakaran Kebangsaan juga akan diperkukuhkan,” katanya.

Beliau berkata, maklumat lanjut berkenaan pelan hala tuju berkenaan sedang diperhalusi dan akan dimuktamadkan serta akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here